2 kad merah, 2 gol, pertemuan penuh drama Malaysia vs Hong Kong
  • 7 years ago
Penuh drama, dua kad merah dilayangkan kepada pemain Malaysia di penghujung babak kedua membuat suasana tegang pada aksi kelayakan Piala Asia 2019 malam tadi.

Perlawanan kedua bagi Malaysia bertemu Hong Kong dalam misi wajib memang terencat dengan hanya mencatatkan keputusan seri 1-1.

Hong Kong membuka tirai jaringan pada minit ke-53 menerusi penyerang naturalisasi,Alessandro Leonardo manakala tiga minit kemudian Malaysia menjaringkan gol penyamaan menerusi Syazwan Zainon.

Aksi berakhir panas dengan Rizal Ghazali dilayangkan kad merah kerana masuk ke padang tanpa kebenaran pengadil selepas mendapatkan rawatan di luar padang.

Malaysia tambah parah apabila pengadil memberikan penalti kepada Hong Kong selepas pemain Malaysia menjatuhkan pemain mereka di dalam kotak penalti.

Para pemain Malaysia membantah keputusan tersebut sehinggakan Aidil Zafuan dilayangkan kad merah selepas dilayangkan kad kuning kedua apabila menepis tangan pengadil.

Penjaga gol Malaysia Hafizul Hakim menafikan sepakan penalti tersebut untuk memastikan keputusan seri bagi satu mata buat Malaysia.