Video: Tiga kad merah, skuad Malaysia B-22 tewas 0-4 kepada Thailand
  • 7 years ago
Skuad Bawah 22 (B-22) negara mencatat kekalahan pertama dalam Kejohanan B-23 Piala Dubai, dibenam 0-4 oleh Thailand dalam pertemuan di Zayed Sports City Stadium, Emiriah Arab Bersatu (UAE), malam tadi.

Skuad Gajah Perang muda itu membuka jaringan pada minit ke-19 melalui sepakan penalti Sittichok Kannoo selepas dia dijatuhkan dalam kotak penalti oleh penjaga gol Ahmad Syihan Hazmi yang turut menerima kad merah.

Apabila babak kedua bermula, Malaysia terpaksa bermain dengan sembilan orang selepas penyerang Mohd Safawi Rasid pula dilayangkan kad merah oleh pengadil Saker Al Zaabi dari UAE kerana kekasaran terhadap pemain lawan.

Thailand memanfaatkan sepenuhnya situasi itu dengan menjaringkan dua gol berturut-turut dalam tempoh lima minit menerusi Sasalak Haiprakhon (minit ke-60) dan Phitiwat Sookjitthummakul (min ke-65).

Nasib malang terus menimpa skuad bimbingan Frank Bernhardt itu apabila pemain tengah Ahmad Khairil Anuar menjadi pemain ketiga skuad kebangsaan dilayangkan kad merah kerana kekasaran terhadap pemain lawan.

Kepincangan skuad Malaysia bermain dengan lapan orang dimanfaatkan oleh Tanasith Siripala yang menyumbang gol keempat Thailand pada minit ke-90.