'Saya bukan rasis', Eddy Rejang tampil perjelas keadaan
  • 5 years ago
Lelaki yang dilaporkan menggunakan kata-kata kesat terhadap seorang promoter bir di sebuah pasaraya memohon maaf secara terbuka atas tindakannya yang tular di media sosial.

Dalam video yang dimuat naik di Facebook Ahli Parlimen DAP Kepong Lim Lip Eng, lelaki itu, yang mengenal dirinya sebagai Eddy Rejang, berkata dia kini mengakui kesilapannya dan menyesali tindakannya.

Eddy juga berkata beliau bukannya seorang yang rasis dan tiada niat untuk melakukan perkara tersebut.

Eddy menambah bahawa Lim membertahunya yang satu pertemuan akan diatur dengan promoter itu.

Dalam reaksinya terhadap video yang tular itu, Lim membuat laporan polis mendesak langkah diambil untuk menangani ketegangan kaum di negara ini.

Eddy dilihat dalam klip itu secara agresif mempersoalkan seorang wanita Cina yang bekerja sebagai seorang promoter bir di bahagian bukan halal sebuah pasaraya tempatan.

Semalam, Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, ACP Hamzah Alias ​​mengesahkan bahawa siasatan sedang dijalankan di bawah Seksyen 509 Kanun Keseksaan.