Dr M perjelas dakwaan Kadir Jasin
  • 5 years ago
Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad mempertahankan keputusannya untuk menubuhkan Majlis Tindakan Ekonomi (MTEN), dengan berkata kabinet juga boleh membuat kesilapan jika ia bergantung sepenuh kepada diri sendiri meskipun dianggotai oleh mereka yang pintar.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas dakwaan Penasihat Khas Media dan Komunikasi kepada Perdana Menteri, A Kadir Jasin yang mendakwa Dr Mahathir merasakan kabinet tidak memadai untuk menangani isu-isu ekonomi, kewangan dan kebajikan rakyat.

"Majlis Tindakan Ekonomi Negara (MTEN) akan membolehkan kerajaan - dan khususnya diri saya sendiri - untuk mendengar pandangan orang lain.

"Mana-mana kerajaan yang tidak mahu mendengarkan pandangan lain dan hanya mahu bergantung kepada kabinet, walaupun kabinet dianggotai oleh mereka yang pintar tidak terlepas daripada membuat kesilapan," katanya kepada pemberita pada sidang akhbar di Yayasan Kepemimpinan Perdana hari ini.

Beliau berkata kerajaan sepatutnya menubuhkan majlis itu sejak Pakatan Harapan mengambil alih kuasa tahun lalu, tetapi mereka agak "sibuk" ketika itu.