Insiden mistik di balai polis, pintu kaca terbuka sendiri

  • 7 years ago
Satu rakaman menerusi kamera litar tertutup (CCTV) memaparkan kejadian pintu kaca di Balai Polis Banda Hilir terbuka dengan sendirinya.

Kejadian yang berlaku jam 4.21 pagi pada Khamis lalu itu menjadi viral di media sosial.

Menurut laporan Berita Harian, dua bahagian pintu kaca di balai polis berkenaan dilaporkan terbuka sendiri sebelum satu daripadanya pecah.

Ketika kejadian, tiga anggota polis sedang berada di meja aduan awam.

Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Shaikh Abdul Adzis Shaikh Abdullah, berkata pihaknya belum menerima laporan kejadian tetapi terkejut bagaimana rakaman CCTV berkenaan boleh menjadi viral di media sosial.

"Saya sahkan yang pintu Balai Polis Banda Hilir pecah namun saya belum menerima laporan mengenainya.

"Kejadian mungkin disebabkan tekanan angin, namun saya masih menanti laporan daripada balai terbabit," katanya ketika dihubungi Berita Harian.

Beliau berkata, pihaknya akan menjalankan siasatan lanjut bagaimana rakaman CCTV di balai polis berkenaan boleh menjadi viral di media sosial.