'Di mana Farhash?' - Penyokong berhimpun depan balai polis
  • 5 years ago
Sekumpulan 80 individu yang diketuai Timbalan Pengerusi PKR Perak M A Thinakaran, berhimpun di hadapan Balai Polis Dang Wangi, Kuala Lumpur mempersoalkan keadaan Farhash Wafa Salvador yang ditahan polis berhubung penyebaran klip video lucah.

Thinakaran berkata, pihaknya cuba menghubungi pegawai penyiasat kes berkenaan untuk bertanya keadaan setiausaha politik Presiden PKR Anwar Ibrahim itu, namun gagal.

“Di mana Farhash? Inilah soalan yang kami mahu polis jawab. Peguam-peguam saya cuba hubungi pegawai penyiasat dalam kes ini untuk bertanya kebajikan saudara Farhash.

"Tapi, panggilan kami tidak dijawab,” katanya kepada pemberita di Ibu pejabat daerah Dang Wangi, Kuala Lumpur malam tadi.

Menurutnya, peguam dan penyokongnya masih tidak tahu keadaan Farhash, yang juga merupakan pengerusi PKR Perak.

“Kami masih tidak tahu di mana Farhash. Bagaimana kebajikan dia? Sudah cuba menghubungi 100 kali. Pihak polis tak nak jawab. Malah, tak nak balas panggilan peguam. Ini jenis SOP (piawai prosedur operasi) apa?

“Kalau seorang pemimpin politik dilayan sebegini, bayangkan nasib rakyat biasa,” kata Thinakaran turut menggesa penubuhan Suruhanjaya Bebas Aduan Salah Laku Polis (IPCMC) segera.

Thinakaran bagaimanapun menafikan tanggapan yang melihat mereka berhimpun kerana isu dalaman PKR.

Tambah beliau, kebajikan dan keselamatan Farhash merupakan tujuan utama mereka berkumpul.

Mengulas kenyataan Ketua Polis Negara Abdul Hamid Bador yang menafikan dakwaan bahawa Farhash tidak diberi makanan selama 24 jam, Thinakaran tetap menggesa perkara itu disiasat.

Penahanan Farhash merupakan sebahagian daripada siasatan polis berhubung pengedaran kilp video seks yang dikaitkan dengan Timbalan Presiden PKR Mohamed Azmin Ali.

Polis telah menahan lapan individu berhubung dengan sisatan video itu, termasuk bekas ketua Pemuda PKR (AMK) Santubong Haziq Abdullah Abdul Aziz.

Semalam, polis memaklumkan bahawa lima daripada individu yang ditahan bersama Haziq telah dibebaskan.

Bagaimanapun, Farshash merupakan antara yang masih ditahan.

Haziq sebelum ini mendakwa klip video seks yang kini dilihat menjadi punca perpecahan PKR itu dirakamkan di bilik hotel Azmin di Sandakan, Sabah, dua bulan lalu.

Azmin menafikan dakwaan itu dan menyifatkan klip video itu sebagai plot jahat untuk merosakkan kerjaya politiknya.