Malaysia belum alami kes sporadik COVID-19 - Dr Noor Hisham
  • 4 years ago
Malaysia belum lagi mengalami kes sporadik susulan kluster kedua membabitkan kira-kira 5,000 peserta negara ini yang menyertai perhimpunan tabligh di Masjid Seri Petaling pada 27 Februari hingga 1 Mac lalu.

Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, ia berikutan individu terbabit boleh dikesan selain pihaknya sudah memaklumkan kepada yang terbabit untuk menghubungi Kementerian Kesihatan (KKM) supaya menjalani saringan.

"Kes-131 yang sebelum ini dikatakan sporadik, tidak betul apabila siasatan lanjut mendapati pesakit merupakan salah seorang peserta perhimpunan tabligh di Masjid Sri Petaling.

"Kita juga bersedia untuk mendedahkan jumlah kes positif COVID-19 mengikut negeri.

"Namun, biar kami lakukan analisis dahulu … ia boleh didedahkan. Saya tidak fikir negeri-negeri ada banyak masalah (kerana nama hospital kerajaan yang mempunyai kes positif COVID-19 didedahkan)," katanya sambil menambah majoriti kes dari gelombang kedua datang dari Lembah Klang.