'Kembalikan faedah diskaun bayaran balik PTPTN’

  • 5 years ago
Mahasiswa Nasional mendesak Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) mengembalikan semula faedah diskaun kepada mahasiswa dalam melunaskan pinjaman pendidikan mereka.

Timbalan Presidennya Haziq Shafe'ee berkata faedah yang kini tidak lagi dinikmati peminjam ialah diskaun 10 peratus bayaran balik yang dibuat menerusi potongan gaji atau debit langsung mengikut jadual dan diskaun 20 peratus bagi pembayaran penuh.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menyampaikan memorandum kepada PTPTN, di Kuala Lumpur, hari ini.

Terdahulu, seramai tiga wakil persatuan mahasiswa berkenaan menyampaikan memorandum itu kepada Ketua Eksekutif PTPTN, Wan Ahmad Wan Yusoff.

Haziq turut menjelaskan satu petisyen dalam talian mengenai perkara ini telah diwujudkan oleh persatuannya yang mana ia telah ditandatangani oleh 5,000 orang.

Haziq berkata selain dua faedah diskaun itu, persatuan yang mempunyai 2,000 anggota di seluruh negara itu turut meminta pengecualian bayaran balik pinjaman untuk penerima Ijazah Kelas Pertama dikekalkan.