Sultan Nazrin sebak sambutan rakyat, pengalaman pertabalan memberi penginsafan

  • 6 tahun lalu
KUALA KANGSAR 17 Mei-Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah hari ini menzahirkan perasaan sebak dengan kehadiran rakyat sempena pertabalan Baginda sebagai Sultan Perak ke-35.

Dalam titah ucapan Istiadat Menutup Kerja yang sekaligus menandakan istiadat pertabalan Sultan Perak ke-35 selamat disempurnakan, Sultan Nazrin menzahirkan penghargaan kepada rakyat.

"Beta dan Raja Permaisuri amat menghargai kehadiran rakyat jelata yang telah keluar beramai-ramai, bersedia menahan panas matahari ñ bersedia dibasahi hujan menyambut keberangkatan Beta di sepanjang perjalanan darat dan sungai.

"Di setiap tempat Beta berdua berziarah dan di setiap majlis yang diadakan; ada di antara mereka mendukung bayi kecil dan ada di kalangan mereka terdiri dari warga tua yang sudah uzur. Kehadiran rakyat jelata adalah hadiah amat berharga kepada Beta dan Raja Permaisuri," titah Baginda penuh sebak.

Titah Istiadat Menutup Kerja berlangsung di Istana Iskandariah Bukit Chandan di sini hari ini yang turut dihadiri Raja Permaisuri Perak, Tuanku Zara Salim.

Sementara itu, Baginda bertitah istiadat pertabalan yang ditempohi baginda memberi penginsafan terhadap tiga perkara.

"Pertama, ?darjat dan jawatan di dunia adalah sementara sifatnya, setiap insan akan dikembalikan kepada asal usul kejadiannya oleh ALLAH yang Maha Pencipta, dari tanah kita dicipta kepada tanah kita kembali.

"Kedua, setiap seorang Sultan terdahulu telah berjasa dan masing-masing mencipta sejarah pemerintahan. Oleh itu, Sultan yang terkemudian tidak wajar bersifat membesar diri, membelakangi mereka, tetapi wajib mengambil pengajaran dari pengalaman Sultan terdahulu untuk dijadikan pedoman," titah Baginda.

Sementara keinsafan ketiga adalah pengalaman menjejak kaki di Beting Beras Basah dan pengalaman menziarahi makam-makam telah mengimbas peristiwa silam mengenai susah payah sultan-sultan terdahulu dengan kemudahan yang sangat terbatas, mengasaskan sebuah negeri dan pemerintahan.

"Kejayaan Marhum-marhum itu membangunkan sebuah negeri berdaulat, negeri beraja-rakyat bersultan yang warganya terdiri daripada segala lapisan rakyat yang begitu pelbagai tetapi hidup bersatu di bawah payung naungan pemerintahan seorang Sultan.

"Jasa bakti Marhum-marhum itu tidak harus dimusnahkan. Pada hari ini adalah menjadi tanggung jawab besar hamba-Mu ini untuk memberikan payung naungan pemerintahan yang dapat menyatukan rakyat yang berbilang agama, berbilang kaum, berbilang budaya dari pelbagai latar belakang sosial, ekonomi, politik dan usia agar terus kekal bersatu, hidup dalam harmoni dan saling bekerjasama memakmurkan negeri Perak Darul Ridzuan," titah Baginda.-UTUSAN ONLINE

Disyorkan