Suasana muram ketika Sultan Nazrin ziarah makam Sultan Azlan

  • 6 tahun lalu
KUALA KANGSAR 10 Mei - Suasana muram menyelubungi Permakaman Diraja Bukit Chandan ketika Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah berserta Raja Permaisuri Perak, Tuanku Zara Salim menziarahi makam Almarhum Sultan Azlan Shah di sini hari ini.

Ziarah pertama terhadap makam ayahanda Sultan Nazrin itu dilakukan baginda berdua sejak ditabalkan sebagai Sultan dan Raja Permaisuri Perak ke-35 pada 6 Mei lalu.

Turut serta dalam Istiadat Menziarahi Makam itu adalah dua anakanda baginda, Raja Azlan Muzzaffar Shah dan Raja Nazira Safya.

Baginda sekeluarga tiba kira-kira pukul 3.05 petang. Istiadat dimulakan dengan majlis tahlil dan doa selamat yang dipimpin oleh Imam Masjid Ubudiah, Mohd. Helmi Ibrahim.

Baginda sekeluarga kemudian menziarahi makam-makam Almarhun Sultan-Sultan Perak yang dimakamkan di Permakaman Diraja Bukit Chandan dengan diakhiri di makam Almarhun Sultan Azlan.

Baginda sekeluarga turut menziarahi makam adinda Sultan Perak, Raja Ashman Shah.

Sultan Nazrin kelihatan sunggul ketika Orang Kaya-Kaya Imam Paduka Tuan, Datuk Dr. Muhammad Afifi Al-Akiti membaca doa di makam Almarhum Sultan Azlan dan Raja Ashman.

Sementara itu, pada sebelah pagi, Baginda berdua turut menziarahi dua makam Almarhum Sultan-Sultan Perak yang terletak di Gedong Siam, Sayong dan Masjid Sayong Tengah, Kuala Kangsar di Kuala Kangsar

Sultan Nazrin dan Tuanku Zara turut menziarahi Batu Peringatan Sultan Perak ke-2, Almarhum Sultan Mansur Shah (1549-1577) di Masjid Kota Lama Kanan.

Sultan Mansur dikatakan ghaib semasa menunaikan solat Jumaat pada tahun 1577 di masjid tersebut. - UTUSAN ONLINE