Rakyat bersama Sultan Nazrin ziarah makam

  • 6 tahun lalu
PARIT 11 Mei - Istiadat Menziarahi Makam Almarhum Sultan-Sultan Perak sempena pertabalan Sultan Perak ke-35 turut dihadiri rakyat pelbagai lapisan.

Sejak dari pagi ketika Sultan Nazrin Muizzuddin Shah dan Tuanku Zara Salim yang memulakan hari ketiga Istiadat Menziarahi Makam di makam Sultan Perak ke-4, Almarhum Sultan Tajul Ariffin di Pulau Semat, Manong, baginda berdua pasti disambut oleh ribuan rakyat jelata.

Malah, pelajar-pelajar sekolah dan para pekerja dari syarikat swasta di sepanjang jalan keberangkatan baginda berdua ke makam-makam berkenaan akan turut beratur di tepi jalan raya meraikan kedatangan baginda berdua.

Sebagai contoh semasa baginda berangkat ke makam Almarhum Sultan Alauddin Shah dan Almarhum Sultan Ahmaddin Shah di Kampung Bota Kanan tidak kurang daripada 1,000 rakyat jelata hadir menyambut baginda berdua bagi melihat penyempurnaan istiadat kesultanan Perak.

Kesempatan itu tidak disia-siakan baginda berdua untuk mendampingi rakyat malah turut melayan permintaan bersalaman dan bergambar dengan baginda berdua.

Hari ini, Sultan Nazrin dan Tuanku Zara mempunyai jadual yang agak padat walaupun jarak perjalanan antara makam-makam terletak berdekatan.

Selepas menyempurnakan ziarah di makam Almarhum Sultan Tajul Ariffin di Pulau Semat, Sultan Nazrin yang mengenakan baju Melayu berwarna krim dan bersongket perang meneruskan perjalanan ke makam Raja Sulong Ibni Almarhum Sultan Ismail Mu’abidin Riayat Shah di Kampung Tepus, Belanja.

Pada sebelah petang, Sultan Nazrin dan Tuanku Zara yang sedondon berbusana Melayu berwarna biru firus berangkat ke Bota Kanan bagi menziarahi makam Sultan Perak ke-13, Almarhum Sultan Mudzaffar Shah III di Kampung Selat Bota sebelum ke makam dua Almarhum Sultan Perak, Sultan Alauddin Shah dan Almarhum Sultan Ahmaddin Shah di Kampung Bota Kanan.

Buat pertama kali selepas ditabal sebagai Sultan Perak ke-35, Sultan Nazrin dan Tuanku Zara akan berangkat ke majlis bersama rakyat di Sekolah Menengah Abdul Rahman Yaakub malam ini.

Dijangkakan, 3,000 rakyat jelata pelbagai lapisan dan golongan akan hadir malam ini bagi meraikan kehadiran baginda berdua ke daerah ini. - UTUSAN ONLINE