Sultan Nazrin cecah kaki di Beting Beras Basah

  • 6 tahun lalu
BAGAN DATOH 14 Mei - Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah menyempurnakan istiadat mencecah Beting Beras Basah di muara Sungai Perak di sini hari ini.

Istiadat mencecah Beting Beras Basah antara yang perlu disempurnakan dalam istiadat pertabalan Sultan Perak.

Baginda tiba di Beting Beras Basah kira-kira 7.15 pagi menaiki bot selepas berlepas daripada Jeti Bagan Datoh kira-kira 6.55 pagi.

Sebaik tiba, baginda turun dan mencecah kaki di Beting Beras Basah kira-kira pukul 7.17 pagi sambil diiringi bacaan doa selamat yang dibacakan Orang Kaya Kaya Imam Paduka Tuan, Datuk Dr. Muhammad Afifi Al-Akiti.

Sebaik istiadat selesai baginda menaiki semula bot pada pukul 7.22 pagi dan bergerak semula ke Jeti Bagan Datoh.

Istiadat mencecah kaki di Beting Beras Basah dimulakan oleh Sultan Perak Pertama, Sultan Muzzaffar Shah I pada abad ke-15 iaitu pada tahun 1528.

Sejarah Kesultanan Perak bermula apabila dua pembesar Perak iaitu Tun Saban dan Nakhoda Kassim telah menghadap Sultan Mahmud Shah, Sultan Melaka yang bersemayam di Kampar untuk memperkenankan seorang putera baginda untuk dijadikan Sultan Perak.

Sultan Mahmud Shah telah memperkenan permintaan tersebut dan mengarahkan putera keduanya iaitu Raja Muzaffar Shah ke Perak.

Sewaktu bahtera baginda menghampiri muara Sungai Perak dan sampai ke kawasan Beting Beras Basah, bahtera baginda dipukul ombak besar dan terdampar secara tiba-tiba di atas beting di tengah lautan tersebut.

Sultan Muzaffar telah mengarahkan supaya dibuangkan barang-barang yang berat ke laut namun bahtera masih tetap tersekat.

Lalu baginda pun berseru:
"Sekongkong Tanah Minangkabau,
Selilit Pulau Perca,
Di lengkong ular Saktimuna,
Perpisahan Beta di selat Melaka,
Jika Sah Beta Raja berdaulat,
Lepaslah sekalian malapetaka"

Sultan Muzzaffar lantas mengambil mahkota baginda dan membuangnya ke dalam laut.

Secara tiba-tiba laut yang bergelora itu tenang kembali seperti biasa bahtera baginda dapat belayar semula seperti sediakala.

Serentak itu, Tun Saban dan pengikutnya melaungkan 'Daulat Tuanku' dan baginda Sultan Muzzaffar Shah I pun ditabalkan sebagai Sultan Perak yang pertama di Beting Beras Basah.

Disebabkan peristiwa tersebut, baginda telah mengambil keputusan untuk mendarat di Beting Beras Basah dan ditabalkan sebelum meneruskan pelayaran baginda.

Sejak itu, setiap Sultan Perak yang akan ditabalkan disyaratkan mencecahkan kaki ke Beting Beras Basah ini. - UTUSAN ONLINE