Cabul: Wanita Vietnam, tiga lagi lelaki direman 4 hari

  • 7 years ago
Tiga lelaki dan seorang wanita Vietnam direman empat hari bermula hari ini bagi membantu siasatan berhubung kejadian seorang pemandu Uber cedera dipukul sekumpulan lelaki selepas didakwa mencabul wanita Vietnam itu di Paya Terubong di sini, Selasa lepas.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Pulau Pinang SAC Zainol Samah berkata tiga lelaki berusia 28 hingga 32 tahun itu ditahan di sekitar Paya Terubong dan George Town, semalam.

"Tiga lelaki itu mengaku terlibat dalam kejadian memukul pemandu Uber berkenaan dan polis percaya, penahanan mereka dapat membantu siasatan kes tersebut," katanya kepada Bernama di sini, hari ini.

Beliau berkata polis menahan wanita Vietnam berkenaan bagi membolehkan pihaknya menjalankan siasatan lanjut berhubung dakwaan dia dicabul pemandu Uber berkenaan.

Menurutnya telefon bimbit wanita berusia 43 tahun itu sedang dianalisis bagi mendapatkan bukti berhubung dakwaannya dicabul kerana sebelum ini, dia mendakwa merakam kejadian tersebut.

Zainol berkata polis percaya dapat menyelesaikan kes itu susulan penahanan enam lelaki termasuk yang ditahan pada Rabu kerana terlibat dalam kejadian memukul pemandu Uber berusia 29 tahun itu.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Timur Laut Supt Anuar Omar berkata dua telefon bimbit yang dirampas dalam kejadian itu telah dihantar ke forensik untuk dianalisis dan sehingga kini masih belum ada laporan terkini.

Beliau berkata polis sedang melengkapkan kertas siasatan berhubung kejadian itu sebelum dirujuk kepada Timbalan Pendakwa Raya.

Semalam, tiga lelaki termasuk suami wanita Vietnam itu dan pemandu Uber berkenaan direman empat hari bagi membantu siasatan kes itu.

Pemandu Uber dan wanita Vietnam itu disiasat mengikut Seksyen 354 Kanun Keseksaan kerana mencabul manakala enam lelaki berkenaan disiasat mengikut Seksyen 148 Kanun Keseksaan kerana merusuh.

Dalam kejadian itu, seorang pemandu Uber cedera di kepala, tangan dan kaki kiri akibat dibelasah lebih 10 lelaki selepas didakwa cuba mencabul seorang penumpang wanita warga Vietnam.