Lelaki didakwa cabul dibelasah hingga koma, 5 ditahan polis

  • 7 years ago
Video yang menjadi tular di media sosial memaparkan seorang lelaki dibelasah orang awam sehingga koma kerana mencabul di sebuah pusat beli belah di Alor Setar pada Ahad lalu.

Dalam kejadian pada 4 petang, lelaki itu didakwa cuba menekup mulut dan memeluk seorang wanita di dalam tandas, namun mangsa dapat meloloskan diri setelah 10 minit bergelut dan meminta bantuan orang awam.

Lelaki berkenaan kemudian dibelasah sebelum diserahkan kepada anggota unit peronda polis yang membuat tangkapan semula.

Timbalan Ketua Polis Daerah Kota Setar, Superintendan Rohana Omar berkata seramai lima individu termasuk seorang wanita ditahan lewat petang semalam berhubung kes terbabit.

Mereka dibawa ke IPD Kota Setar bagi merakamkan percakapan berhubung kes terbabit.

Polis juga masih mengesan beberapa individu lain bagi melengkapkan kertas siasatan di bawah Seksyen 325 Kanun Keseksaan kerana mendatangkan kecederaan.

Keadaan suspek masih kritikal dan dirawat di Zon Merah Hospital Sultanah Bahiyah akibat kecederaan parah di kepala.

Polis juga memaklumkan kakak lelaki berkenaan sudah membuat laporan polis berhubung kejadian yang menimpa adiknya.