Ada tanda awal PKP fasa pertama berkesan
  • 4 years ago
Data yang dikumpul oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menunjukkan tanda awal bahawa perintah kawalan pergerakan (PKP) yang dilaksanakan oleh kerajaan untuk membendung penyebaran Covid-19 berkesan, kata Dr Noor Hisham Abdullah.

Dalam sidang medianya hari ini di Putrajaya, Ketua Pengarah Kesihatan itu menjelaskan bahawa trajektori jumlah kes positif Covid-19 adalah lebih rendah daripada yang telah diunjurkan oleh Institut Penyelidikan Ekonomi Malaysia (MIER).

Sambil menunjukkan kepada pemberita carta perbandingan trajektori kes sebenar dan unjuran MIER, Noor Hisham berkata unjuran MIER meramalkan kenaikan mendadak berterusan dalam bilangan kes baru, yang sebaliknya tidak berlaku."

"Jika kita melihat garis merah, itu adalah unjuran oleh MIER, yang meramalkan kenaikan mendadak, tetapi kami telah mengambil tindakan selama dua minggu PKP, dan anda dapat melihat garis biru (trajektori jumlah kes sebenar).

"Jadi, kita idak mempunyai kenaikan mendadak, tetapi garisnya agak landai.

"Ini merupakan petanda awal bahawa tindakan kita di bawah PKP sedang memberi kesan," katanya.