Jho Low pernah aktif di Wuhan, kata IGP
  • 4 years ago
Ketua Polis Negara Abdul Hamid Bador mendedahkan bahawa risikan mendapati Jho Low pernah melawat Wuhan, China, tempat bermulanya wabak Covid-19.

Beliau berseloroh bahawa hartawan dalam buruan itu boleh pulang ke Malaysia walaupun dijangkiti virus berbahaya.

"Setakat ini Kementerian Kesihatan Malaysia adalah yang terbaik. 9 orang berjaya telah disembuhkan."

"Kalau dia kena, mintaklah dia balik. Kita akan berikan dia rawatan yang terbaik."

Sementara itu, Abdul Hamid menegaskan bahawa Jho Low masih ada dalam senarai notis merah Pertubuhan Polis Jenayah Antarabangsa (Interpol).

Kenyataan itu dibuat selepas beberapa pihak menyedari ketiadaan nama Jho Low pada senarai individu yang dikehendaki di laman web Interpol.

Hamid menjelaskan bahawa ketiadaan nama Jho Low dalam senarai dalam talian adalah kerana nama ahli perniagaan itu berada dalam senarai lain yang hanya terhad kepada pihak berkuasa.

Jho Low yang terlibat dalam kes penyalahgunaan dana 1MDB dipercayai telah diberikan suaka politik oleh sebuah negara di Eropah tahun lepas.