Tun Mahathir jemput saya secara peribadi - Hadi

  • 4 years ago
Presiden PAS, Abdul Hadi Awang mengucapkan tahniah atas kejayaan negara dalam penganjuran Sidang Kemuncak Kuala Lumpur 2019 yang disifatkannya sebagai permulaan memperkasakan kerjasama di kalangan negara Islam.



Sambil memuji kejayaan Malaysia yang berjaya mengumpul wakil negara Islam dari seluruh dunia, beliau berkata, penganjuran itu satu langkah proaktif dan sebagai pemangkin bagi menangani banyak masalah membelenggu umat Islam.

“Usaha membawa persidangan Islam ke Asia Tenggara, jauh dari tempat yang banyak masalah adalah satu langkah baik kerana rantau ini lebih aman dan tenang berbanding Asia Barat.

“Saya ucapkan tahniah, ini sesuatu yang membanggakan,” katanya ketika ditemui wartawan selepas perasmian Sidang Kemuncak Kuala Lumpur 2019 oleh Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC), hari ini.

"Kehadiran saya ini juga atas jemputan Perdana Menteri (Dr Mahathir Mohamad) sendiri. Beliau yang juga pengerusi persidangan ini menjemput saya secara peribadi,” katanya.

Antara yang hadir, termasuk Presiden Turki, Recep Tayyip Erdogan; Presiden Iran, Hassan Rouhani dan Emir Qatar, Sheikh Tamim Hamad Al-Thani.