Kemenangan Tanjung Piai adalah satu permulaan perjalanan yang masih jauh
  • 4 years ago
Sayap UMNO akan menterjemahkan amanah yang diberikan kepemimpinan parti itu untuk mengambil alih semula pentadbiran kerajaan.

Ketua Wanita UMNO, Datuk Dr Noraini Ahmad, berkata pergerakan itu sedang memikirkan cara yang terbaik untuk meraih semula undi rakyat kepada UMNO dan Barisan Nasional (BN).

“Ini akan kita lakukan melalui gerak kerja yang sudah, sedang dan akan kita aturkan.

“Sayap parti terutama Wanita akan menterjemahkan apa yang diamanahkan menjadi kenyataan.

“Kemenangan kita pada Pilihan Raya Kecil Parlimen Tanjung Piai baru-baru ini adalah satu permulaan kepada perjalanan yang masih jauh untuk kita mengambil kembali kerajaan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas majlis perasmian Perhimpunan Agung Wanita, Pemuda, dan Puteri UMNO 2019 di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini, semalam.