Fokus PRK Tanjung Piai dulu, nanti baru bincang isu Ronnie Liu - Syed Saddiq
  • 4 years ago
Pakatan Harapan (PH) akan memberikan fokus kepada kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Tanjung Piai terlebih dahulu sebelum membincangkan isu Ahli Dewan Undangan (ADUN) Sungai Pelek, Ronnie Liu.

Ahli Majlis Presiden PH, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman berkata, perkara itu akan dibangkitkan selepas selesai PRK Tanjung Piai, Sabtu ini di Majlis Presiden PH.

“Saya rasa perkara paling mustahak sekarang adalah untuk fokus kepada PRK Tanjung Piai dan apa-apa perbincangan susulan akan dibincangkan dalam Mesyuarat Presiden Pakatan Harapan (PH) seperti apa yang telah ditetapkan sebelum ini,” katanya di lobi Parlimen, hari ini.

Sebelum ini, Ketua Pemuda Armada itu berkata, kenyataan yang dibuat Ronnie bahawa gabungan PH tidak memerlukan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) adalah kenyataan yang biadap.

Ahli Parlimen Muar itu sebelum ini memberikan tempoh seminggu untuk Ronnie Liu memohon maaf atau kepimpinan DAP perlu mendisiplinkan beliau.

Syed Saddiq diminta mengulas keputusan Lembaga Disiplin DAP tidak mengambil tindakan disiplin Ronnie Liu berhubung kritikannya terhadap pentadbiran Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, yang mencetuskan perang mulut sesama gabungan PH baru-baru ini.
Recommended