Kes penipuan atas talian libatkan kerugian RM186 juta
  • 4 years ago
Sebanyak 3,533 kes penipuan dalam talian melibatkan kerugian RM186 juta direkodkan bagi tempoh Januari hingga Ogos lalu.

Timbalan Menteri Dalam Negeri Datuk Mohd Azis Jamman berkata jumlah kerugian itu termasuk RM79.4 juta melibatkan 1,612 kes Macau Scam.

“Kementerian Dalam Negeri memandang serius kes jenayah penipuan dalam talian meliputi pelbagai kategori seperti penipuan melalui telefon dan internet, Love Scam, pinjaman tidak wujud serta Macau Scam," katanya.

Beliau menjawab soalan Datuk Mohd Fasiah Mohd Fakeh (PH-Sabak Bernam) berhubung kes penipuan dalam talian melibatkan simpanan persendirian orang ramai di bank-bank Malaysia bagi tempoh 2019 dan langkah mengatasi jenayah itu, dalam sesi soal jawab di persidangan Dewan Rakyat hari ini.

Pelbagai usaha dijalankan polis untuk mengekang jenayah seumpama itu termasuk meningkatkan penguatkuasaan undang-undang, pengoperasian, tangkapan dan pendakwaan ke atas mereka yang terlibat dalam aktiviti penipuan, kata Mohd Azis.