Ummah terkilan dengan kenyataan politik kempen produk Muslim
  • 5 years ago
Pengerusi Gerakan Pembela Ummah (UMMAH), Aminuddin Yahaya berasa kecewa dan terkilan dengan kenyataan beberapa pemimpin politik negara yang mengaitkan kempen produk Muslim kepada isu perkauman dan agama. UMMAH menegaskan bahawa kempen itu tidak bermaksud memboikot produk dari pengusaha-pengusaha bangsa lain dan juga tidak ada kena mengena dengan mana-mana parti politik sama ada dalam kerajaan mahupun pembangkang.
Kempen ini adalah usaha untuk membantu pengusaha-pengusaha umat Islam yang selama ini tidak ada keupayaan kewangan untuk membuat pemasaran. Mereka juga tidak diberi ruang oleh pasar-pasaraya besar untuk memasarkan produk-produk mereka. Ini menyebabkan tidak ramai pengusaha Melayu boleh kekal dalam perniagaan.

Dalam masa yang sama, kita sering terdengar bagaimana banyak produk yang dijual ini diragui kehalalannya. Ini menyebabkan orang Islam tidak selesa kerana menjejaskan ibadah mereka. Jadi, usaha ini adalah langkah untuk membantu orang Islam mendapatkan produk-produk yang sahih dari segi kebersihan dan kehalalannya.