Ekonomi masa depan akan bergantung pada teknologi

  • 5 years ago
Dalam usaha mewujudkan platform ID Digital Nasional yang mampu membantu pengguna berurus niaga secara selamat serta para peniaga mengembangkan perniagaan mereka, satu kajian akan bermula bulan depan untuk mengenal pasti model pelaksanaan yang sesuai.

Menteri Komunikasi dan Multimedia Gobind Singh Deo berkata kajian sembilan bulan itu yang akan dijalankan oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) itu juga akan mengambil kira MyKad dan infrastruktur swasta yang sedia ada sambil mengenal pasti dasar-dasar baharu yang diperlukan.

“Selain melaksanakan transaksi atas talian dengan lebih selamat dan mudah, ID Digital Nasional juga akan menyediakan lebih banyak akses kepada produk dan perkhidmatan,” katanya ketika berucap pada majlis perasmian Perkhidmatan eDagang Setempat (PeDAS) di Pusat Internet Desa (PID) di Pejabat Pos Beranang, dekat sini, hari ini.

Beliau berkata ID Digital Nasional juga akan memberi peluang kepada peniaga mengembangkan perniagaan mereka.

Sementara itu, mengulas mengenai projek itu dalam sidang media, Gobind berkata sepanjang tempoh kajian itu, SKMM akan mendengar dan mengumpul semua pandangan serta masalah termasuk mengenai isu keselamatan yang diutarakan oleh pemain industri dan mereka yang berkaitan.

SUMBER : Bernama