M'sia akan terus menggunakan teknologi Huawei - Dr M

  • 5 years ago
Malaysia tidak terancam dengan dakwaan pengintipan ke atas syarikat teknologi utama China, Huawei, dan akan terus menggunakan teknologi mereka seluas mungkin, kata Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad hari ini.

“Kami terlalu kecil untuk menerima impak syarikat besar seperti Huawei, yang membuat penyelidakan jauh lebih besar daripada keseluruhan keupayaan penyelidikan Malaysia.

“Oleh itu, kami akan memanfaatkan teknologi mereka seluas mungkin. Ya, mungkin ada bentuk intipan, tapi apa yang nak diintap di Malaysia” katanya pada sesi dialog pada Persidangan Antarabangsa Mengenai Masa Depan Asia (Nikkei Conference) di sini pada Khamis.

Dr Mahathir tiba di Tokyo pada Rabu untuk lawatan kerja tiga hari.

Perdana Menteri berkata Malaysia mengamalkan pintu terbuka.

“Semua orang tahu jika mana-mana negara mahu menyerang Malaysia, mereka boleh lakukan, dan kita tidak menentangnya kerana ia membuang masa,” katanya berseloroh.