Lokman terbang ke Jakarta, hasil forensik video seks akan diserah pada IGP

  • 5 years ago
Pengerusi Sekretariat Suara Rakyat Lokman Noor Adam hari ini berlepas ke Jakarta, Indonesia bagi membawa klip video seks sejenis yang dakwa mirip Menteri Hal Ehwal Ekonomi Mohamed Azmin Ali untuk dikaji oleh sebuah syarikat penganalisis forensik di situ.

Memetik siaran langsung di pautan Facebook sebelum menaiki pesawat ke Jakarta, Lokman berkata hasil keputusan analisis itu nanti akan diserahkan kepada Ketua Pembangkang Ismail Sabri Yaakob dan Ketua Polis Negara Abdul Hamid Bador.

Sebelum itu, Lokman turut menyatakan kekecewaan dengan pihak berkuasa yang hanya menyiasat dalang penyebaran video terbabit berbanding individu yang berada dalam video itu.

Kelmarin, Muhyiddin dilaporkan berkata, tiada tarikh ditetapkan untuk menyelesaikan siasatan ke atas video seks itu.

Ketua Polis Negara, Abdul Hamid Bador pula pada 13 Julai dilaporkan berkata, dalang di sebalik pembikinan dan penyebaran video seks yang dikaitkan dengan seorang menteri telah dikenal pasti.

Pada 11 Jun lalu, beberapa klip video seks sejenis yang memaparkan dua lelaki melakukan aksi intim dihantar kepada wartawan dan penyokong PKR.

Keesokan harinya, Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) Santubong, Haziq Abdullah Abdul Aziz tampil dan mendakwa bahawa dia adalah salah seorang daripada dua orang lelaki dalam video itu.

Dia juga mendakwa Azmin sebagai teman seranjangnya dalam video itu.

Azmin walau bagaimanapun menafikan dakwaan tersebut, dan berkata ia adalah komplot jahat yang bertujuan untuk membunuh kerjaya politiknya.


Kredit video: Malaysianews TV