Zuraida faham perasaan aktivis NGO, terima memorandum
  • 5 years ago
Kumpulan aktivis Orang Kurang Upaya (OKU) hari ini disambut oleh Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Zuraida Kamaruddin di pejabatnya, 4 hari selepas menuduh Menteri Dr Wan Azizah Wan Ismail dan timbalannya, Hannah Yeoh tidak pedulikan mereka.

Zuraida menerima kedatangan delegasi yang minggu lepas menunjuk perasaan di di luar Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM), dan mendengar permasalahan yang dibangkitkan dalam mesyuarat berlangsung selama lebih 1 jam.

“Saya faham kekecewaan mereka. Kegagalan mereka bertemu pihak kementerian tempoh hari, kami rasa kementerian mempunyai sebab tersendiri,” katanya pada sidang media selepas bertemu para perwakilan, termasuk Presiden Persatuan Terapi Bantuan Haiwan untuk Warga Kurang Upaya dan Warga Emas (Petpositive), Anthony Thanasayan.

Zuraida turut menerima memorandum daripada kumpulan OKU itu dan akan cuba menyampaikannya kepada ketua setiausaha KPWKM.