Cuaca panas terik tidak halang rakyat untuk ucap selamat tinggal
  • 5 years ago
Jenazah Almarhum Paduka Ayahanda Sultan Ahmad Shah Al-Musta’in Billah ibni Al-Marhum Sultan Abu Bakar Ri’ayatuddin Al-Muadzam Shah selamat dimakamkan di Makam Diraja di sini pada pukul 5 petang ini.

Istiadat pemakaman diraja berkenaan dimulakan pada pukul 2.30 petang setelah mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah yang juga anakanda Almarhum.


Jenazah Almarhum dibawa menaiki van jenazah dari Istana Abu Bakar ke Makam Diraja sejauh 2.2 kilometer dengan Al-Sultan Abdullah turut menaiki kenderaan berkenaan.

Sejurus selepas jenazah diletakkan di dalam van, sebanyak 88 das tembakan istiadat meriam menyamai usia Almarhum dilepaskan pasukan 41 Rejimen Artileri Diraja (RAD) yang berpangkalan di Kem Sungai Buloh, Selangor sebagai simbolik mengiringi pemergian baginda untuk istiadat pemakaman.

Tembakan meriam dilepaskan setiap 23 meter pergerakan bermula dari Istana Sultan Abu Bakar ke Makam Diraja dengan upacara tembakan itu diadakan di pekarangan Istana Sultan Abu Bakar dan pekarangan Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang (Muip) di sini.

Jenazah Almarhum kemudian disembahyangkan di Masjid Sultan Ahmad Shah yang terletak bersebelahan Makam Diraja dengan diimamkan oleh Mufti Pahang, Datuk Seri Dr. Abdul Rahman Osman yang turut mengetuai bacaan talkin.


Cuaca panas terik tidak menghalang ribuan rakyat berdiri di kiri dan kanan jalan sepanjang 2.2 kilometer untuk mengucapkan ‘selamat tinggal’ kepada seorang raja yang amat disayangi yang cukup terkenal dengan sifat merendah diri dan menjadi bukti kepada pepatah ‘Raja dan Rakyat Berpisah Tiada’.

VIDEO : Jabatan Penerangan Pahang