Tulis pada saya jika ada dakwaan salah laku hakim - Ketua Hakim Negara

  • 5 years ago
Ketua Hakim Negara Tengku Maimun Tuan Mat menggesa pihak yang mempunyai maklumat mengenai dakwaan salah laku hakim untuk menulis kepadanya atau membuat lapiran dengan pihak berkuasa relevan.
"Sekiranya terdapat dakwaan salah laku di pihak hakim, saya menyeru kepada sesiapa yang mempunyai maklumat mengenai sebarang tuduhan sedemikian, untuk membuat laporan dengan pihak berkuasa yang berkaitan supaya siasatan yang sewajarnya dapat dijalankan.

"Orang ramai juga boleh menulis kepada saya, Presiden Mahkamah Rayuan atau kepada Ketua Hakim di dua Mahkamah Tinggi masing-masing, bagi kita untuk melaksanakan perkara yang perlu dilakukan," katanya ketika menyampaikan ucupan sulungnya selaku ketua hakim negara ketika istiadat menyambut pelantikannya di Istana Kehakiman di Putrajaya hari ini.

Beliau berkata mahkamah menghormati hak orang ramai untuk mengkritik prestasi hakim tetapi teguran perlu berdasarkan fakta dan dibuat dengan penuh tanggungjawab.

Ini kerana kritikan tidak berasas terhadap kehakiman akan melemahkan pentadbiran sistem keadilan dan menghakis keyakinan orang ramai terhadap kehakiman, ujarnya.

Tengku Maimun dilantik sebagai Ketua Hakim Negara yang baru pada 2 Mei lalu menggantikan Richard Malanjum yang bersara pada April tahun ini.