Dr M tak puas hati peraturan SPR

  • 5 years ago
Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad menyuarakan rasa tidak puas hati terhadap peraturan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) yang melarang anggota kabinet menjalankan aktiviti kempen ketika waktu bekerja pada pilihan raya.

Katanya, keputusan itu akan memberi kesan kepada pentadbiran Pakatan Harapan (PH) selain seolah-olah memberi kelebihan kepada pembangkang yang tidak mempunyai kerja, untuk berkempen selama 24 jam.

"Kita dapati bahawa ada arahan supaya pegawai kerajaan, menteri dan timbalan tidak boleh berkempen masa bekerja jadi mereka masa kerja mesti ada dalam pejabat dan tidak boleh kempen sedangkan lepas waktu kerja menteri kerja juga.

"Sekatan terhadap menteri seolah-olah memberikan peluang kepada parti lawan yang tidak kerja apapun dan mereka boleh berkempen 24 jam," katanya pada sidang akhbar di bangunan Perdana Putra hari ini.

Mengulas lanjut, Dr Mahathir berkata ketika PRK Cameron Highlands tahun lalu beliau juga tidak dibenarkan menggunakan kemudahan kerajaan walaupun menjadi perdana menteri.

"Ini saya rasa sekatan yang tidak bagus. Saya juga sebagai perdana menteri tidak boleh guna aset kerajaan dan segala kemudahan kerajaan semasa saya berkempen di Cameron Highlands.

"Saya kena sewa helikopter swasta untuk pergi ke tempat kempen dan kereta milik sendiri terpaksa dibawa untuk berkempen.

"Ini adalah sekatan yang luar biasa sebab biasanya jemaah menteri pun bekerja di luar waktu kerja," katanya.

Pengerusi SPR, Azhar Azizan Harun sebelum ini berkata menjadi kesalahan dibawah Akta Kesalahan Pilihan Raya (AKPR) 1954 sekiranya mana-mana pemimpin didapati menggunakan aset kerajaan untuk turun berkempen.