Pengganti Dr M mampu selesaikan masalah negara? - Ezam

  • 5 years ago
Bekas Anggota Dewan Negara, Datuk Mohamad Ezam Mohd Nor mempersoalkan samada individu yang bakal menggantikan perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad mampu menyelesaikan masalah negara atau akan mengundang lebih banyak masalah.

Dalam satu kenyataan yang dikeluarkan semalam, Ezam berkata Mahathir mungkin tidak sempurna tetapi dia dilihat mampu selesaikan masalah negara berdasarkan rekodnya.

Justeru menurut Ezam perdana Menteri selepas Mahathir juga perlu diangkat berdasarkan atas asas yang sama.

Meskipun tidak menyebut secara langsung, Ezam dipercayai merujuk kepada presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang diuar-uarkan sebelum ini bakal menggantikan Mahathir.

Untuk rekod, Ezam pernah menjadi setiausaha politik Anwar kira-kira 20 tahun lalu sebelum bekas timbalan perdana menteri itu dipecat daripada jawatannya kerana tuduhan liwat.

Ezam merupakan ketua Pemuda pertama Parti Keadilan Nasional sebelum bertukar nama ke Parti Keadilan Rakyat dan pesaing utama dalam karier politik Datuk Seri Azmin Ali, yang kini merupakan menteri hal ehwal ekonomi.

Setelah berlaku perselisihan dan krisis keyakinan terhadap Anwar, Ezam keluar parti dan menubuhkan NGO antirasuah, Gerakan Rakyat Anti Korupsi (GERAK) sebelum menyertai Umno ketika era pentadbiran Abdullah Ahmad Badawi.

Beliau dilantik menjadi senator sehingga 2016 dan keluar Umno buat kali kedua selepas menganggap parti itu bawah pentadbiran Datuk Seri Najib Razak tidak lagi serius menentang rasuah.

Beliau juga pernah menyertai Bersatu sebelum turut mengisytiharkan keluar daripada parti itu pada Dis 2016.

Sebelum pilihan raya umum ke-14, Ezam menyatakan sokongan agar Azmin dinamakan sebagai calon perdana menteri dan bukannya Mahathir sekiranya Pakatan Harapan (PH) memenangi pilihan raya.

Dalam kenyataan itu juga, Ezam berkata cadangan agar Mahathir terus memegang jawatan perdana menteri selama sepenggal adalah wajar.

Katanya mandat yang diberikan rakyat kepada Pakatan Harapan (PH) pada pilihan raya umum lalu dibuat atas harapan agar Mahathir menyelesaikan masalah negara yang meruncing ketika itu.

Tambah beliau, sejarah juga membuktikan cubaan blok pembangkang sebelum ini dan "penawaran calon PM" selain Mahathir gagal memperolehi mandat rakyat.