Sebat pesalah rasuah, cadang SPRM

  • 6 years ago
Ketua Pesuruhjaya SPRM Datuk Seri Mohd Shukri Abdull hari ini mencadangkan kepada kerajaan agar mengenakan hukuman sebat ke atas pesalah rasuah.

Shukri yang dibawa semula ke suruhanjaya itu selepas Pakatan Harapan mengambil alih Putrajaya pada bulan Mei lalu, berkata tindakan berkenaan diharap mampu menjadi pengajaran kepada mereka yang mahu melakukan rasuah.

“Saya ini seorang yang cukup benci rasuah. Saya cukup allergic dengan orang terlibat rasuah.

“Kalau Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad kata kalau boleh hukum bunuh, nak hukum bunuh, saya sokong.

“Di China memang jalan hukuman bunuh. Tapi di Malaysia tidaklah sampai tahap itu. Malaysia pun sekarang sedang hapuskan (hukuman) bunuh untuk kesalahan lain,” katanya selepas menjadi tetamu program temubual di Radio Bernama dekat Wisma Bernama di Kuala Lumpur.
Shukri berkata bahawa undang-undang anti rasuah yang sedia ada hanya memperuntukan hukuman penjara maksimum 20 tahun ke atas mereka yang didapati bersalah melakukan rasuah.

Di bawah Akta SPRM 2009, hukuman bagi sebarang kesalahan berkaitan rasuah adalah maksimum 20 tahun penjara dan denda minimum RM10,000, atau lima kali ganda nilai suapan (yang mana lebih tinggi).