'Lepas ini mana tahu satu dua bulan lagi saya pula bertanding Parlimen'
  • 6 years ago
Ketua Umum PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim secara berseloroh menimbulkan pertanyaan tentang kembali bertanding di Parlimen.

“'Lepas ini mana tahu satu dua bulan lagi saya pula bertanding Parlimen',” katanya yang berucap ketika kempen PRK Sungai Kandis bersama Persatuan Penganut Dewa Sou Gui Mio di Taman Sejati, Klang.

Dalam ceramah itu malam tadi, beliau tidak menyebut kerusi khusus parlimen yang dibangkitkannya itu.

Anwar sebelum ini dalam siri ceramah kempen di Sungai Kandis turut menimbulkan perkara yang sama.

“Ada kosong di Sungai Kandis, ada kosong di Balakong dan ada kosong di parlimen sebab saya mahu bertanding,” katanya yang berucap dalam keadaan beranduh.

Bagaimanapun, terdapat media mentafsirkan ucapan itu sebagai petanda akan ada pilihan raya parlimen bagi memberi laluan kepada Anwar kembali ke Dewan Rakyat.

Anwar dilapor berkata demikian kerana menegaskan kepentingan pengundi Sungai Kandis untuk turun mengundi calon Pakatan Harapan.

Pilihan raya kecil DUN Balakong akan diadakan pada 8 September depan.

Kerusi Sungai Kandis kosong susulan kematian penyandangnya Mat Shuhaimi Shafiei yang menghidap barah. Pilihan raya Balakong pula diadakan susulan kematian Eddie Ng dalam kemalangan jalan raya.

Dan terbaru kematian ADUN Seri Setia Prof Dr Shaharuddin Badaruddin semalam akibat kanser akan membuka satu lagi PRK kecil. Namun Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) masih belum bermesyuarat untuk membincangkan perihal PRK.