Satu juta pasang baju raya di Jakel
  • 6 tahun lalu
KUALA LUMPUR 20 Jun-Syarikat tekstil terkemuka, Jakel Trading Sdn. Bhd menyediakan satu juta pasang baju Melayu dan baju kurung untuk pelanggan bagi menyambut perayaan Aidilfitri tahun ini.

Menurut Pengarah Urusan Kumpulan Jakel, Datuk Mohamed Faroz Mohamad Jakel, baju raya tersebut melibatkan Koleksi Baju Melayu Aaron Aziz yang mula diperkenalkan pada tahub 2013.

Selain itu, Jakel turut menampilkan koleksi baharu iaitu Koleksi Baju Melayu Nabil Ahmad dan Koleksi Baju Kurung Rozita Che Wan.

Turut diperkenalkan adalah Koleksi Baju Melayu dan Baju Kurung Upin & Ipin hasil koloborasi dengan syarikat Les' Copaque Production Sdn. Bhd.

"Tahun lepas kita mengeluarkan 300,000 pasang baju raya. Tahun ini kita berkeyakinan untuk menjual lebih banyak kerana kualiti kain, jahitan serta warna yang ditawarkan.

"Untuk koleksi Aaron Aziz kita menyediakan 6 jenis rekaan dengan 137 warna, Nabil 4 jenis rekaan dan menawarkan 126 warna manakala koleksi Rozita menawarkan 39 rekaan dengan pilihan 147 warna," kata Mohamad Faroz.

Mohamed Faroz bercakap kepada media pada sidang akhbar sempena Program Gempak Raya Bersama Jakel 2015 di Jakel Mall di sini hari ini.

Pada majlis itu, Aaron Aziz diperkenal sebagai duta baju Melayu Jakel untuk tahun ketiga berturut-turut. Turut diumumkan sebagai duta baju Jakel adalah Nabil Ahmad dan Rozita Che Wan.

Harga bagi setiap koleksi adalah berlainan mengikut jenis, rekaan dan kualiti.-UTUSAN ONLINE