Saya mungkin kalah debat, semua terkejut KJ bertanding - Ku Li
  • 6 years ago
Meskipun berkecimpung dalam dunia politik sejak lebih enam dekad lalu, Tengku Razaleigh Hamzah mengakui beliau mungkin kalah berdebat dengan pencabarnya, Khairy Jamaluddin dalam 'Debat Presiden Umno' yang dijadual berlangsung malam ini.

Dalam temu bual dengan Malaysiakini, calon presiden Umno itu mengakui Khairy mempunyai kelebihan tersendiri dan merupakan seorang pendebat yang baik.

"Dia boleh menang, saya seorang novice (masih baru dalam debat)," kata anggota parlimen Gua Musang itu ketika ditemui di kediamannya di Kuala Lumpur, semalam.

Debat antara Tengku Razaleigh yang kini berusia 81 tahun dan bekas ketua Pemuda Umno yang berusia 42 tahun itu akan disiarkan secara langsung di Astro Awani malam ini.

Sementara itu, mengulas apakah beliau terkejut dengan langkah Khairy menawarkan diri sebagai calon presiden, beliau berkata semua orang berasa terkejut.

"Kita semua terkejut kerana dia datang ke sini sebelum raya hari itu minta saya tawar diri (sebagai presiden) dan saya sendiri tidak ada niat untuk bertanding," katanya.

Menurut Ku Li, pada pertemuan itu juga beliau berpesan kepada Khairy supaya pemimpin muda diberikan kepercayaan mengemudi parti berusia 71 tahun itu kerana golongan tersebut lebih bertenaga.
Recommended