Suee Lim dilantik Speaker DUN Selangor
  • 6 years ago
Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sekinchan selama empat penggal, Ng Suee Lim dipilih sebagai speaker DUN yang baru.

Manakala ADUN Paya Jaras, Mohd Khairuddin Othman dilantik sebagai timbalan speaker.

Menteri Besar Selangor Amirudin Shari mencalonkan Lim bagi jawatan itu dan disokong oleh ADUN Sungai Pinang Datuk Teng Chang Khim.

Ini merupakan penggal ketiga kerusi speaker diperuntukkan kepada DAP yang memiliki kerusi DUN kedua terbanyak di Selangor.

Istiadat mengangkat sumpah jawatan itu kemudian disempurnakan bersempena Mesyuarat Pertama Penggal Pertama DUN Selangor Ke-14 di Shah Alam, hari ini.

DUN Selangor pada penggal kali ini memperlihatkan Pakatan Harapan menguasai 51 kerusi manakala PAS (satu kerusi) dan BN empat kerusi.

Mengikut parti politik, komposisi DUN Selangor terdiri daripada 25 wakil PKR, DAP (15), AMANAH (8), BERSATU (3), BN (4) dan PAS (1).