Zahid restu Sarawak tinggal BN, bentuk GPS
  • 6 years ago
Gabungan Parti Sarawak (GPS) akan bekerjasama sekali lagi dengan Umno, jika parti itu menguasai Putrajaya semula pada masa depan, kata calon presiden Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.

Zahid, yang juga pemangku pengerusi BN, berkata GPS dibentuk dengan persetujuannya susulan perbincangannya dengan Ketua Menteri Sarawak, Datuk Patinggi Abang Johari Openg.

Zahid berkata demikian dalam satu rakaman video dipercayai dirakamkan semalam pada sebuah majlis Umno di Pusat Dagangan Dunia Putra.

GPS terbentuk minggu lalu selepas empat parti Sarawak yang memerintah - PBB, SUPP, PRS, dan PDP - keluar dari BN.

Abang Johari berkata GPS akan menjadi mesra dengan kerajaan persekutuan Pakatan Harapan.

Dalam video itu, Zahid berkata beliau bersetuju dengan pembentukan GPS, kerana menyedari bahawa empat parti berkenaan mahu terus berkuasa pada pilihan raya negeri Sarawak akan datang.

Pada pilihan raya negeri 2016, BN memenangi 72 daripada 82 kerusi DUN.

Walau bagaimanapun, dominasi mereka di negeri itu berkurang dengan ketara, apabila pada pilihan raya umum ke-14, pada 9 Mei lalu, mereka memenangi hanya 19 daripada 31 kerusi Parlimen.

Tindakan BN Sarawak meninggalkan gabungan itu menyaksikan gabungan itu hanya mempunyai 57 kerusi parlimen dengan 54 daripadanya dipegang oleh Umno.
Recommended