Papagomo: Lupakanlah Jamal...

  • 6 years ago
Calon Exco Pemuda Umno, Wan Muhammad Azri Wan Deris atau lebih dikenali sebagai Papagomo menasihatkan semua perwakilan yang akan mengundi bagi memilih Ketua Pemuda Umno supaya melupakan Datuk Seri Jamal Md Yunos yang turut menawarkan diri bertanding.

Menurut Papagomo beliau menganggap Jamal hanya 'berlawak' dan tidak serius untuk bertanding jawatan terbabit. Justeru beliau berharap perwakilan akan menumpukan kepada tiga calon sahaja yang turut bertanding iaitu Ahli Parlimen Paya Besar Datuk Mohd Shahar Abdullah, Naib Ketua Pemuda Khairul Azwan Harun dan Datuk Asyraf Wajdi Dusuki.

Jamal sehingga kini masih menyembunyikan diri susulan waran tangkap yang dikeluarkan terhadapnya. Lokasi beliau berada turut tidak diketahui.

Pada 1 Jun lalu, polis mengeluarkan waran tangkap terhadap Jamal selepas beliau menghilangkan diri semasa proses ikat jamin di Hospital Pakar KPJ Ampang Puteri beberapa hari sebelumnya.

Jamal didakwa bawah Seksyen 290 Kanun Keseksaan berkaitan kes gangguan awam selepas beliau memimpin bantahan pada Oktober 2017 dengan memecahkan beberapa botol minuman keras di luar bangunan sekretariat kerajaan negeri Selangor.

Beliau juga disiasat bawah Seksyen 34 Akta Senjata 1960 kerana membawa senjata api semasa dalam keadaan mabuk atau tidak senonoh.