'Kaya-raya atau asal dari kayangan, tiada siapa terkecuali dijangkiti Covid-19'
  • 4 years ago
Wabak Covid-19 tidak mengenal sama ada seseorang itu berasal dari 'kayangan' ataupun bumi, kata Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Ismail Sabri Yaakob kepada mereka yang bersikap biadab dan enggan memberi kerjasama kepada petugas kesihatan yang terlibat dalam pengurusan wabak itu.

Beliau menegaskan bahawa kedudukan dan darjat seseorang itu tidak sama sekali boleh menjamin mereka terselamat daripada virus pembunuh itu.

"Saya harap mereka yang berkedudukan tinggi itu sepatutnya lebih bertamadun daripada orang lain dan berikanlah kerjasama kepada petugas barisan hadapan.

"Kerana seperti saya katakan kedudukan tinggi tidak menjamin mereka terselamat daripada Covid-19," katanya selepas mesyuarat Jawatankuasa Khas Menteri-Menteri berkenaan PKP di Putrajaya, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas luahan kekecewaan petugas barisan hadapan seperti doktor dalam media sosial berikutan terpaksa berhadapan dengan golongan yang dikategorikan sebagai 'turun dari kayangan', yakni yang baru pulang dari luar negara.
Recommended