Semua sisatan dalam Mindef masih diteruskan - Ismail Sabri
  • 4 years ago
Siasatan dalaman Kementerian Pertahanan berhubung dakwaan rasuah yang melibatkan urusan kementerian itu pada masa lalu akan diteruskan, kata Ismail Sabri.

Ismail, yang merupakan menteri pertahanan baru di bawah gabungan Perikatan Nasional (PN), berkata ini termasuk siasatan yang disenaraikan di bawah Kertas Putih Kementerian Pertahanan yang dibentangkan di Parlimen tahun lepas.

"Siasatan dalaman oleh kementerian? Ya, siasatan yang telah dimulakan (oleh pentadbiran terdahulu) akan diteruskan," katanya pada sidang akhbar selepas mempengerusikan mesyuarat pertamanya selepas kabinet ditubuhkan di Kementerian Pertahanan pagi ini.

"Semua. Sebagaimana yang saya katakan sebelum ini, semua siasatan yang telah dijalankan akan diteruskan," tambah Ismail semasa ditanya sama ada ia termasuk siasatan ke atas transaksi pertukaran tanah melibatkan tanah tentera yang didakwa menyebabkan kerajaan kehilangan kira-kira RM500 juta.

Tahun lepas, menteri pertahanan ketika itu, Mohamad Sabu mendedahkan bahawa wujud kepentingan politik dalam 13 daripada 16 tawaran pertukaran tanah yang berlaku sejak tahun 1997.

Walaupun tidak menyebutkan nama tertentu, Mohamad berkata bahawa perdana menteri dan menteri pertahanan yang lalu terlibat dalam perjanjian ini.
Recommended