Tajuddin tak selesa pemilihan Azmin sebagai menteri paling kanan PM

  • 4 years ago
Ahli Majlis Tertinggi (MT) UMNO, Datuk Tajuddin Abdul Rahman berpendapat parti itu tidak selesa dengan keputusan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin meletakkan Datuk Seri Mohammed Azmin Ali sebagai menteri paling kanan dalam Kabinetnya.

Menurut beliau, pemilihan Azmin yang disifatkan sebagai orang nombor dua negara itu dilihat sebagai satu isyarat tidak bagus kepada UMNO.

“UMNO tidak berapa selesa melihat perkara itu. Bagi saya itu sebagai penerusan agenda Bersatu dan mungkin lebih daripada itu.

“Kita sebagai parti politik yang mempunyai kepentingan politik tersendiri kita tidak mahu keterbelakang dan akan menjadi sebuah parti yang kecil,” katanya selepas selesai menghadiri mesyuarat MT UMNO di Menara Dato’ Onn, hari ini.

Tajuddin yang juga Ahli Parlimen Pasir Salak berkata demikian menjawab soalan media mengenai pemilihan Azmin yang boleh mempengerusikan mesyuarat Kabinet jika Perdana Menteri tiada dalam negara.