Nak buka 'pintu depan' bukan sekarang, kata Annuar
  • 4 years ago
Menteri Wilayah Persekutuan, Annuar Musa, hari ini memberi penjelasan mengenai ciapannya yang menyarankan agar parlimen dibubar untuk membuka jalan kepada pilihan raya umum diadakan.

Menurut Annuar apa yang dimaksudkannya dengan harapan untuk "pintu depan" dibuka segera dan parlimen dibubarkan itu bukanlah dalam waktu terdekat.

Malah, katanya, ciapan tersebut merupakan respons kepada segelintir pihak yang mahu agar parlimen dibubarkan sebelum Perikatan Nasional (PN) selesai memerintah dan ingin mengemukakan undi tidak percaya kepada Perdana Menteri Muhyiddin Yassin.

“Kita kena utamakan rakyat, jadi kita kena berikan peluang kepada perdana menteri dan kabinet untuk melaksanakan tanggungjawab, kita takkan lari mana-mana, kita akan kembali kepada rakyat juga,” katanya ketika ditemui di pejabatnya di Putrajaya hari ini.

Terdahulu Annuar menarik perhatian ramai apabila menyebut soal pembubaran parlimen hanya dua hari selepas beliau mengangkat sumpah menjadi menteri.