"Saya belum puas berkhidmat untuk rakyat Perak" - Exco Perak menangis
  • 4 years ago
Exco Komunikasi, Multimedia dan Badan Bukan Kerajaan (NGO) Perak, Hasnul Zulkarnain Abd Munaim tidak dapat menahan sebak ketika mengenangkan kemungkinan terpaksa meninggalkan tugas sebagai Exco kerajaan negeri.

Dalam sidang media di pejabatnya, beliau meluahkan perasaan masih belum puas menjalankan tugas sebagai Exco selepas dilantik ke jawatan itu pada 19 Mei 2018.

Biarpun belum menerima sebarang arahan rasmi daripada Menteri Besar Perak, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu mengenai kedudukan Exco kerajaan negeri, beliau membayangkan kemungkinan terpaksa meninggalkan Bangunan Perak Darul Ridzuan susulan perubahan pentadbiran kerajaan Pusat.

“Saya masih belum puas untuk berkhidmat kepada rakyat Perak. Saya Exco penerangan dan kerap berjumpa masyarakat.

“Antara yang paling menyentuh hati saya ialah Program Santai Bersama Rakyat. Dari situlah saya dapat lihat apa rakyat Perak mahu selama ini,” katanya yang beberapa kali menitiskan air mata ketika sidang media di pejabat di Bangunan Perak Darul Ridzuan di sini hari ini.