Kabinet setuju lanjutkan lesen Lynas hingga 2023 - Sumber
  • 4 years ago
Kabinet hari ini bersetuju secara dasar untuk melanjutkan lesen operasi loji pemprosesan nadir bumi Lynas di Gebeng, Kuantan sehingga 2023.

Menurut sumber yang bercakap kepada Malaysiakini, perkara itu akan diumumkanoleh Menteri Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim, Yeo Bee Yin.

Lynas mendapat kelulusan daripada kabinet selepas syarikat Australia itu memenuhi tiga syarat yang ditetapkan oleh kerajaan, kata satu lagi sumber yang dekat dengan kerajaan.

Sumber itu bagaimanapun enggan mendedahkan syarat berkenaan.

Sementara itu, sumber lain memberitahu media bahawa menteri DAP, Lim Guan Eng dan Yeo sendiri membantah perkara itu apabila isu Lynas dibangkitkan dalam mesyuarat kabinet hari ini.

Pada 15 Ogos 2019, kabinet hanya memberi Lynas lesen enam bulan, yang berkuat kuasa pada 3 Sept, 2019 sehingga 2 Mac, 2020.

Baru-baru ini, Lynas mengumumkan bahawa ia memperoleh kelulusan kerajaan negeri Pahang untuk menggunakan Bukit Ketam di Kuantan sebagai tempat pembuangan sisa WLP.