Menteri akan ke Australia bincang isu Lynas
  • 5 years ago
Menteri Tenaga, Teknologi Hijau, Sains, Perubahan Iklim dan Alam Sekitar, Yeo Bee Yin akan ke Australia bagi membincangkan isu Lynas, menurut wakil kementeriannya.

Perdana Menteri Dr mahathir Mohamad mengumumkan semalam lesen Lynas diperbaruhi, meluluskan penerusan kilang kontroversi pemprosesan nadir bumi di Gebeng, Pahang.

Timbalan ketua setiausaha kementerian berkenaan, Nagulendran Kangayatkarasu berkata pihaknya akan bertemu dengan rakan sejawat Yeo di Australia bagi membincangkan syarat-syarat operasi Lynas dan pengurusan sisanya.

Beliau berkata menteri akan bertemu rakan sejawatnya dari Australia, selepas negara itu membentuk kabinet baru kerajaan selepas pilihan raya baru-baru ini.

"Perdana menteri mengumumkan Lynas akan terus beroperasi, jadi bagi pihak kami kami akan meneliti isu sisa (yang dikeluarkan kilang Lynas)," katanya kepada pemberita di Bangi hari ini.

Menjelaskan lanjut, kerajaan tidak menentang nadir bumi yang merupakan komoditi penting Industri 4.0 tetapi isunya adalah berkenaan sisa kilang Lynas.