"Cukup, jangan politikkan kes Indira Gandhi" - IGP

  • 4 years ago
Ketua Polis Negara Abdul Hamid Bador meminta semua pihak berhenti mempolitikkan isu M Indira Gandhi yang dipisahkan daripada anak perempuannya Prasana Diksa.

Ia susulan tekanan pihak-pihak tertentu terhadap polis untuk menangkap bekas suami Indira, Muhammad Riduan Abdullah dan mengembalikan Prasana kepada ibunya, selepas Abdul Hamid mendakwa bahawa beliau tahu lokasi Muhammad Riduan.

"Kita seronok pasal isu ini sebab kita dapat score political point (modal politik), kita dapat dilihat jaguh agama, jaguh NGO.

"Tolong berhenti pentingkan diri sendiri, Percayalah, saya ikhlas nak bantu (menyelesaikan kes Indira). Jadi jangan dipolitikkan," katanya dalam sidang media di Bukit Aman hari ini.

Mengulas mengenai pendedahan beliau pada minggu lalu bahawa beliau tahu lokasi Muhammad Riduan, Hamid berkata apa yang penting ialah usaha untuk menyelesaikan kes itu.