Halang sidang bantah Jawi Dong Zong demi keselamatan awam

  • 4 years ago
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Huzir Mohamed sekali lagi menegaskan tindakan polis menghalang penganjuran Persidangan Bersama Organisasi Cina oleh Dong Jiao Zong dibuat semata-mata atas dasar keselamatan awam.

Katanya, tindakan polis mendapatkan perintah mahkamah untuk menghalang persidangan tersebut, bukanlah dilakukan atas niat untuk menyekat hak bersuara mana-mana pihak.

“PDRM ambil tindakan tersebut oleh kerana kita pentingkan tentang keselamatan, keamanan dan ketenteraman awam. Sebab itu kita mohon mahkamah untuk menghalang pihak- pihak yang hendak berkumpul (untuk) batalkan.

“Kita tak mahu ada provokasi walaupun sedikit. Sedikit provokasi pun akan menyebabkan sesuatu yang tidak baik akan berlaku.

“Sebagai penguatkuasa undang-undang, PDRM mengambil langkah-langkah tersebut, prioriti kita adalah keselamatan orang awam,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Meraikan Atlet PDRM Sukan SEA 2019 di Mes pegawai Kanan PDRM, di Bukit Aman.

Kenyataannya itu sekali lagi mengulangi kenyataan Ketua Polis Negara, Abdul Hamid Bador pada 29 Disember lalu yang menyifatkan tindakan polis dibuat atas faktor keselamatan, setelah menerima banyak laporan berhubung penganjuran persidangan itu.

Recommended