Permaisuri Agong guna tulisan Jawi di Twitter
  • 4 years ago
Permaisuri Agong Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah kini menggunakan tulisan Jawi di Twitter di tengah-tengah kontroversi mengenai pengajarannya di sekolah vernakular.

Permaisuri yang popular itu mula menggunakan tulisan Jawi pada 28 Dis lalu, selepas mempertahankan langkah kerajaan memperkenalkan tulisan itu sebagai sebahagian subjek Bahasa Melayu di sekolah vernakular.

Ia dibuat tengah-tengah penentangan beberapa pendidik bukan Melayu, mengatakan pengajaran Jawi adalah sebahagian agenda memperluaskan Islamisasi di sekolah Malaysia.

Dalam tweet terbarunya semalam, Tunku Azizah mempersoalkan kuasa Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) yang akan menentukan isi kandungan sukatan pelajaran.

“Anak-anak saya juga ke sekolah kerajaan. PIBG hanya untuk menjaga kebajikan dan mutu pelajaran yang disampaikan oleh guru,” tulisnya dalam tulisan Jawi.

Ogos lalu, Kementerian Pendidikan dilaporkan berkata, pengajaran tulisan Jawi kepada murid tahun 4 di sekolah vernakular mulai tahun ini perlu mendapat persetujuan ibu bapa dan PIBG.