Isu NAFAS : 'Tak munasabah! Menteri tak tahu tender lebih RM1 billion'
  • 4 years ago
Sepatutnya Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Salahuddin Ayub, yang perlu digantikan, bukan ketua setiausaha kementerian itu, kata Ketua Pembangkang, Ismail Sabri Yaakob.

Kata Ismail Sabri, pegawai kanan terbabit dilihatmenjadi mangsa kepada kelemahan Salahuddin semasa mengendalikan isu tender kepada Pertubuhan Peladang Kebangsaan (Nafas).

Menurut ahli parlimen Bera itu beliau yakin tindakan Mohd Sallehhuddin Hassan itu dibuat berdasarkan manifesto PH yang menerima amalan tender terbuka bagi semua projek kerajaan.

"Alasan yang diberikan oleh menteri yang mengatakan beliau tidak tahu tentang tender terbuka dibuat KSU itu, saya rasa sesuatu alasan yang tidak boleh diterima.

"Saya pernah jadi menteri pertanian, Noh Omar (ahli parlimen Tanjung Karang) menteri pertanian, Mahdzir Khalid menteri pendidikan... tak mungking - kita sebagi menteri - tidak maklum (mengenai hal itu), terutama tender atau projek yang melibatkan lebih RM1 bilion, kerana ia dibentangkan dalam kabinet. Tak munasabah...." katanya pada sidang media di lobi parlimen hari ini.

Baru-baru ini muncul isu pemberian kontrak baja yang diberikan secara rundingan terus kepada Nafas. Kontrak bernilai RM1.4 bilion itu pada asalnya dibuat secara tender terbuka namun Salahuddin mengaku beliau menulis surat kepada Perdana Menteri, Dr Mahathir Mohamad, pada 7 Nov agar ia diberikan kepada Nafas.

Ia mula dibangkitkan di parlimen semasa sesi perbahasan oleh Wee Ka Siong (BN-Ayer Hitam) yang mendakwa tiga kontrak bernilai RM1 bilion dibatalkan selepas Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani menganugerahkannya secara rundingan terus.
Recommended