Timbalan Pengerusi Amanah Kedah terajui pimpinan NAFAS yang baharu
  • 5 years ago
Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Alor Mengkudu, Kedah Datuk Ir Phahrolrazi Mohd Zawawi diumum sebagai Pengerusi Ahli Jemaah Pengarah Pertubuhan Peladang Kebangsaan (NAFAS) yang baharu.

Pengumuman itu dibuat Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani Datuk Salahuddin Ayub dalam satu majlis pelantikan Pengerusi dan Ahli Jemaah Pengarah NAFAS yang baharu di ibu pejabat pertubuhan itu.

Menurut Salahuddin, sepanjang tempoh penggantungan bermula 1 Jun lepas, pengurusan NAFAS distruktur semula bagi memastikan peranannya sebagai pejabat induk bagi Pertubuhan Peladang dilaksanakan secara lebih efisien.

Pada majlis itu, turut diumumkan pelantikan Ahli Jemaah Pengarah (AJP) pertubuhan yang baharu iaitu Pengerusi Parti Amanah Negara (Amanah) Perlis Wan Kharizal Wan Khazim, ADUN Apam Putra Mohd Hisyamuddin Ghazali, ahli perniagaan Normah Yusof, Senator Dr Yaakob Sapari dan Ketua Amanah Simpang Renggam Muhamad Said Jonit yang merupakan lima senarai lantikan menteri.

Lima lagi AJP ialah Pengerusi Pertubuhan Peladang Negeri (PPN) Kelantan Datuk Abdul Aziz Derashid, PPN Selangor Datuk Ahmad Bhari Abd Rahman, PPN Perlis Datuk Tengku Aziz Tengku Jaafar, Pengerusi Pertubuhan Peladang Kawasan Merlimau, Melaka Abdul Kalam Hassan dan Anggota Jemaah Pengarah PPN Kedah Ishak Taib.

Dalam pada itu, ketika ditanya pemberita mengenai para peneraju baharu NAFAS yang kebanyakannya berlatarbelakangkan politik, Salahuddin berkata beliau sangat teliti dan memilih mereka yang benar-benar layak, kompeten serta berpengalaman.