Safawi jaring 2 gol menarik bantu Harimau benam Garuda

  • 4 years ago
Dua jaringan luar biasa Muhammad Safawi Rasid membantu Malaysia membenam seteru utamanya, Indonesia 2-0 dalam aksi pusingan kedua kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023, di Stadium Nasional Bukit Jalil, malam ini.

Mohamadou Sumareh diberikan tanggungjawab menggalas tugas selaku penyerang tengah, manakala Safawi dan Muhammad Akhyar Rashid masing-masing beraksi di sayap kanan dan kiri.

Malaysia membuka tirai jaringan dengan sepakan percuma Safawi pada minit ke-29, yang melencong ke sudut kiri melepasi Muhammad Ridho, menggegarkan stadium dengan laungan kegembiraan penyokong tuan rumah.

Bersambung babak kedua, Malaysia mendapat peluang untuk menggandakan jaringan, tetapi rembatan Mohamad Syamer Kutty Abba selepas menerima hantaran dari Norshahrul Idlan Talaha, tersasar ke atas pada minit ke-64, manakala rembatan Brendan Gan selang empat minit kemudian berjaya ditampan keluar oleh Muhammad Ridho.

Safawi sekali lagi menggegarkan stadium yang dihadiri lebih 75,000 penyokong dengan jaringan pada minit ke-72 melalui rembatan kencang dari sudut kiri palang gol yang deras melepasi Muhammad Ridho ke dalam gawang skuad Garuda Merah Putih itu.


Indonesia mendapat peluang keemasan untuk mengurangkan jurang apabila dihadiahkan sepakan penalti selepas Mohd Farizal menjatuhkan Febri yang berjaya melakukan larian ke dalam kotak penalti pada minit ke-82.

Bagaimanapun Mohd Farizal bertindak cemerlang untuk menyelamatkan sepakan penalti penyerang kelahiran Nigeria, Osas Marvellous di sudut kanannya.

Keputusan 2-0 kekal hingga akhir perlawanan dan ini merupakan kemenangan ketiga Harimau Malaya dalam aksi pusingan kedua kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 setelah lima perlawanan.