OKU tidak perlu duduki peperiksaan PSEE untuk jadi penjawat awam
  • 4 years ago
Golongan kurang upaya (OKU) kini tidak lagi perlu menduduki Peperiksaan Memasuki Perkhidmatan Awam (PSEE) untuk menjadi penjawat awam, kata Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Mohamed Hanipa Maidin. Beliau berkata, pengecualian itu dilakukan selepas Mei lalu sebagai langkah kerajaan menggalakkan lebih ramai penyertaan golongan itu dalam sektor perkhidmatan awam sekali gus merealisasikan hasrat melibatkan satu peratus golongan OKU dalam sektor itu. “Selama ini kajian mendapati apabila ada peperiksaan itu, ia menyebabkan ramai OKU tidak dapat kerja sebab tidak lepas periksa, sebab itu kita buat keputusan untuk kecualikan dan selepas ini saya yakin sasaran satu peratus akan dapat dicapai,” katanya. Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan Datuk Rosol Wahid (PH-Hulu Terengganu) pada sesi jawab lisan persidangan Dewan Rakyat hari ini yang meminta Perdana Menteri menyatakan langkah kerajaan menggalakkan penyertaan OKU sebagai penjawat awam.